Accord yang bakal muncul menampilkan teknologi pengguna canggih yang baru
Petaling Jaya, 17 Mac 2008 – Para penggemar kereta Malaysia kini mempunyai sebab untuk meraikan model kereta generasi terkini jualan terbaik dunia – Accord, akhirnya bakal muncul di pasaran! Honda Accord yang serba baru ini dikatakan akan mengubah arah kenderaan pengangkutan menjadi lebih jitu, dinamis dan sofistikated dengan rangkaian teknologi inovatif yang lebih luas yang direka untuk peningkatan kuasa, penjimatan minyak dan tahap keselamatan bagi keseluruhan barisan model Accord.
Menurut Pengarah Utusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, En. Atsushi Fujimoto, generasi kelapan Accord direka untuk melebihi jangkaan dengan teknologi premiumnya. “Antara inovasi teknologi yang ada,” kata beliau, “adalah penjimatan minyak dan Sistem Variable Cylinder Management (VCM) yang mesra alam; sistem Stereng Variable Gear Ratio (VGR) yang meningkatkan pengendalian; Sistem Shift Hold yang memudahkan pemindahan kuasa; serta peningkatan ciri keselamatan yang lain”.
All New Honda Accord 3.5 litre i-VTEC V6 Engine
Accord Serba Baru mempunyai 3 varian: enjin i-VTEC 2.0-liter dan 2.4- liter yang dipertingkatkan, untuk keseimbangan di antara prestasi dan penjimatan minyak; dan enjin 3.5-liter i-VTEC V6 yang dibekalkan buat pertama kalinya serta paling berkuasa dalam barisan model Accord. Model 2.4-liter i-VTEC pada 180 ps memiliki kuasa enjin yang paling tinggi dalam kelasnya.
Menyentuh mengenai peningkatan utama model Accord 2008 , En. Fujimoto berkata: “Para pelanggan pasti teruja kerana enjinnya lebih berkuasa dan lebih menjimatkan minyak berbanding model terdahulu, dan semua enjin dibekalkan dengan Transmisi Automatik 5 Kelajuan untuk pemanduan yang lebih lancar”.
All New Honda Accord Variable Cylinder Management (VCM) Technology
Model 3.5-liter V6 akan menggunakan teknologi Variable Cylinder Management (VCM) milik Honda, yang membolehkan pencapaian keseimbangan optimum di antara penjimatan minyak dan kuasa. Sistem ini beroperasi dengan menggunakan mode enam silinder untuk kuasa dan mode empat dan tiga silinder untuk kecekapan minyak – bermakna enjin berupaya bertukar di antara ketiga-tiga mode pembakaran minyak mengikut keperluan dan situasi pemanduan.
Sebagai contoh, semasa kereta mendaki bukit atau melaju, output yang tinggi diperlukan. Dalam situasi ini, kesemua enam silinder enjin akan beroperasi untuk menyediakan kuasa yang diperlukan. Pada kelajuan sederhana atau tinggi dan semasa mendaki bukit yang agak rendah, enjin hanya akan mengaktifkan empat silinder sahaja. Semasa meluncur atau beban enjin rendah, sistem hanya akan menggunakan sebaris tiga silinder sahaja.
Inovasi ini bergantung pada keupayaan sistem VCM menutup kedua-dua injap masuk dan ekzos silinder yang tidak digunakan dan kehilangan pergerakan pam yang dikaitkan dengan kemasukan dan ekzos dihapuskan untuk menjadikan kereta lebih cekap penggunaan minyaknya dan lebih mesra alam. Bukan itu sahaja malah kemajuan kejuruteraan ini dicapai tanpa memberi kesan kepada prestasi pemanduan kereta.
Untuk memastikan pertukaran operasi silinder yang senyap, tanpa getaran dan lancar, sistem pengurangan bunyi dan getaran telah dibangunkan untuk menyokong teknologi VCM. Sistem yang inovatif ini terdiri daripada sistem Active Control Engine Mount (ACM) dan sistem Active Noise Control (ANC) yang baru.
ACM menjangkakan getaran yang disebabkan oleh VCM dengan mengawasi perubahan dalam pusingan enjin per saat (RPM). Ia kemudiannya menggerakkan dua tapak enjin untuk menghasilkan getaran luar fasa untuk membatalkan atau menghapuskan daya getaran akibat operasi perubahan silinder. Sistem Active Noise Control (ANC) membatalkan bunyi dentuman yang berkait dengan fungsi VCM dengan mengeluarkan gelombang bunyi pada amplitud yang sama dan berlawanan arah berbanding bunyi asal daripada sistem bunyi audio.
ACM dan ANC sama-sama berfungsi untuk meminimumkan bunyi dan getaran yang dihasilkan semasa VCM untuk pemanduan yang lancar, selesa dan tanpa gangguan untuk para pemilik Accord.
Pengendalian Accord 2008 menjadi lebih jitu dengan sistem Stereng Variable Gear Ratio (VGR), yang meningkatkan keseluruhan pengalaman pemanduan daripada segi prestasi, keselesaan dan keselamatan. Mekanisme ini memberikan kestabilan yang lebih baik untuk pemanduan lurus dan berkelajuan tinggi, dan pemanduan yang lancar dan lebih responsif pada kelajuan rendah. Satu lagi perkara yang wajar diberi perhatian ialah radius pusingan yang lebih kecil yang memberi kelebihan semasa meletakkan kereta.
Daripada segi pengurusan penukaran gear, Accord Serba Baru menampilkan Sistem Shift Hold yang menghalang penukaran naik ke gear lebih tinggi(4 & 5) dalam situasi jalan berliku yang berulang. Transmisi automatik untuk semua gred memiliki sistem ini untuk mengurangkan penukaran gear yang tidak dikehendaki bagi lebih respons dan kelajuan linear pada jalan berliku dan situasi lain yang sama. Ini dapat mengurangkan gangguan pada casis dan memastikan kuasa yang mantap sentiasa tersedia tanpa perlu menurunkan gear. Semuanya ini akan menjadikan pemandu Accord merasa lebih yakin dan lancar dalam pemaduan mereka tanpa sebarang kejutan disebabkan penukaran gear yang kerap semasa di selekoh. Ia juga menawarkan perjalanan yang selesa untuk semua penumpang di jalan yang berliku.
Para pemandu Accord baru akan mendapati badan kereta lebih ringan dan kukuh disebabkan penambahan penggunaan keluli tegangan tinggi yang menghasilkan badan yang dipertingkatkan untuk perjalanan dan pemanduan lebih selesa dan juga prestasi keselamatan (semasa pelanggaran) yang lebih baik.
Melalui pendekatan yang menyeluruh dan sentiasa berubah terhadap keselamatan kenderaan, Honda berusaha untuk menyediakan penumpang (termasuk pemandu) dan pejalan kaki tahap perlindungan yang tinggi dengan Accord Serba Baru. Model generasi kelapan ini menggabungkan teknologi keselamatan yang canggih termasuk Teknologi Kawalan G-Force , struktur badan Advanced Compatibility Engineering (ACE) yang terkini, ciri keselamatan Pejalan Kaki , Sistem Beg Udara Termaju dan Vehicle Stability Assist (VSA).
G-Force Control (G-CON) Honda adalah teknologi termaju yang dibangunkan untuk mengawal daya G atau tenaga pelanggaran yang mungkin dialami oleh pemandu, penumpang, kereta malah pejalan kaki semasa pelanggaran.
Struktur badan ACE (Advanced Compatibility Engineering) merupakan lanjutan daripada teknologi G-CON yang direka untuk prestasi pelanggaran hadapan yang lebih baik. Berbanding dengan struktur badan konvensional yang fokus terhadap tenaga pelanggaran terutamanya pada dua rel kerangka sisi, reka bentuk badan ACE membantu mengagihkan dan mencapah tenaga impak ke kawasan permukaan yang luas dan seterusnya mengurangkan kemasukan ke dalam kabin bagi mengurangkan kecederaan secara berkesan.
Komitmen Honda terhadap keselamatan juga termasuk individu yang paling terdedah di jalan raya iaitu para pejalan kaki. Untuk lebih memahami dinamik dunia sebenar pejalan kaki dalam kemalangan trafik, Honda telah mencipta patung pejalan kaki paling maju yang pertama di dunia untuk membantu membangunkan teknologi untuk meningkatkan perlindungan pejalan kaki dan mengurangkan kecederaan yang boleh mengancam nyawa.
Sekiranya berlaku kemalangan, hud dan pendakap fender Accord Serba Baru direka untuk terperosok jika berlanggar dengan pejalan kaki. Engsel hud, lengan pengelap cermin depan dan tapak cermin depan sama ada memiliki struktur penyerap tenaga, akan melengkung atau memecah untuk membantu mengurangkan tahap kecederaan.
Ciri keselamatan tambahan untuk Accord 2008 termasuk Sistem 6 Beg Udara Termaju dengan dua beg udara langsir sisi, dua set beg udara dwi peringkat berkembar hadapan dan dua beg udara sisi dengan Occupant Position Detection System (OPDS) untuk model 3.5 liter V6; dan sistem Vehicle Stability Assist (VSA) untuk meningkatkan tahap keselamatan aktif kereta pacuan roda hadapan untuk kedua-dua model 3.5 liter V6 dan 2.4 liter.
Accord generasi kelapan bukan sahaja lebih berkuasa dan menjimatkan minyak, ia juga kereta mesra alam yang memenuhi standard emisi Euro 4. Ia menggunakan lebih banyak bahan mesra alam – seperti bahan yang mempunyai kandungan Sebatian Organik Mudah Meruap (VOC, Volatile Organic Compounds) dan PVC yang kurang untuk kemasan dalam kereta dan lapisan bawah badan kenderaan.
Dengan teknologi hebat dan inovatif yang mengutamakan pelanggan ini, Accord Serba Baru yang bakal dilancarkan sudah pastinya menjadi barisan tawaran yang paling dinamik pernah direka dan diperkenalkan. Nantikan kemunculannya di jalan raya pada bulan April 2008!
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Talian Bebas Tol Honda 1-800-88-2020, atau layari laman web Honda Malaysia di www.honda.com.my untuk butiran terperinci.
No comments:
Post a Comment